Konsep 1Malaysia telah di
Ilhamkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul
Razak . Konsep 1Malaysia bermatlamat untuk membawa perubahan dan kejayaan yang
besar. Oleh itu, beberapa inisiatif telah pun dilaksanakan untuk rakyat di
negara ini. Pelbagai produk 1Malaysia telah diperkenalkan dan mendapat sambutan
yang baik oleh jutaan rakyat Malaysia sama ada di kawasan bandar mahu pun luar
bandar. Tetapi adakah benar segala produk yang di perkenalkan seperti senarai
di bawah ini membawa makna pada rakyat Malaysia? Dan adakah ia meringankan
serta membantu rakyat Malaysia? Segala jawapan ada pada anda, kerana anda yang
merasa ataupun tidak dengan wujudnya produk ini.
Mari kita lihat semula produk
1Malaysia yang telah di hasilkan. Berikut adalah produk 1 Malaysia:
Amanah Saham 1Malaysia (AS1M)
AS1M merupakan satu pelaburan
saham yang disokong oleh Kerajaan. Ia menawarkan 10 billion unit dana dengan
harga tetap pada RM1 seunit kepada semua rakyat Malaysia dengan pelaburan
permulaan minimum sebanyak 100 unit. Purata bagi pulangan AS1M ini di antara
lima peratus hingga 10 peratus setahun.
Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M)
Di bawah projek ini, setiap
pelajar di seluruh negara menerima baucar buku bernilai RM200. Antara 5.4 juta orang pelajar yang menikmati
bantuan ini termasuk dari institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta,
kolej-kolej matrikulasi dan juga pelajar-pelajar Tingkatan 6.
Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M)
BL1M adalah program khusus untuk
membantu rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda untuk mendapatkan lesen
kelas B2 pada harga yang rendah iaitu RM199.
Inisiatif Kembali Ke Sekolah
Inisiatif ini bertumpu kepada
golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Setiap pelajar di sekolah
rendah dan menengah - dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 - menerima sebanyak RM100
sebelum berakhirnya semester pertama persekolahan.
Lebih 5.3 juta pelajar telah
mendapat faedah melalui bantuan ini. Selain itu, Kerajaan juga telah
memansuhkan yuran sekolah, sekaligus membenarkan rakyat Malaysia menikmati
pendidikan awam secara percuma buat pertama kalinya.
eKasih
Program ini telah memenangi
hadiah pertama di Anugerah Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
pada tahun 2012. eKasih adalah sistem pengkalan data keluarga miskin yang
diwujudkan di peringkat nasional. Ia digunakan oleh agensi-agensi yang terbabit
untuk memastikan agihan bantuan yang adil dan saksama dan tidak bertindih
dengan program bantuan kemiskinan yang lain. Setakat ini, kelajuan pemprosesan
telah dipertingkatkan. Sejumlah 317,359 kes tertunggak sebelum ini selesai diproses.
Ini menjadikan 96 peratus daripada semua kes eKasih berjaya diproses.
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
Bantuan kewangan bernilai RM700
ini diberikan secara terus kepada rakyat Malaysia yang pendapatan isi rumahnya
kurang daripada RM4,000 sebulan. Bayaran secara sekali (one-off) ini
dilaksanakan sejak tahun 2012 dan telah memberi manfaat kepada 75 peratus
daripada seluruh isi rumah di negara ini.
Dalam perlaksanaan BR1M 2014
baru-baru ini, penerima bantuan ini turut menerima Insurans Takaful Berkelompok
Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) bernilai RM50 dengan perlindungan minimum RM1,000
bagi kematian biasa dan maksimum RM30,000 bagi kematian akibat kemalangan atau
hilang upaya kekal.
Interaktif-Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M)
i-TR1M adalah program
pembelajaran selepas waktu sekolah dengan menyediakan kelas bimbingan secara
percuma kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah untuk mata pelajaran
UPSR, PMR dan SPM secara online mahupun melalui cara konvensional. Program ini
juga mensasarkan pelajar yang lemah dalam mata pelajaran penting seperti Bahasa
Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Projek ini dijangkakan dapat
memupuk budaya belajar sendiri di kalangan para pelajar di samping mengajar
untuk menjadi lebih berdikari di kemudian hari.
Kaedah pembelajaran online yang
digunakan di dalam program ini bertindak sebagai tambahan kepada apa yang telah
dipelajari di dalam kelas. Pembelajaran dan pencapaian para pelajar dapat
diawasi dan diselia berdasarkan kepada laporan-laporan yang diperolehi melalui
sistem tersebut.
Projek ini telah dimulakan dengan
4,000 pelajar UPSR dan 5,300 pelajar PMR dan SPM di Selangor. Jumlah ini adalah
dua kali ganda daripada jangkaan asal. Dana sebanyak RM2 juta telah ditambah
untuk mencapai bilangan 200,000 pelajar di seluruh negara.
Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M)
Di bawah program ini, kad diskaun
diberi secara percuma khusus untuk pelajar-pelajar Malaysia di
institusi-institusi pengajian tinggi yang sedang megikuti pengajian lebih daripada
satu tahun bagi program sijil, diploma, ijazah dan ke atas. Para pelajar dapat
menikmati potongan harga sebanyak lima peratus hingga 60 peratus untuk barangan
dan perkhidmatan di lebih 2,600 premis perniagaan yang ditawarkan oleh 264
syarikat yang menyertainya. Barangan dan perkhidmatan yang dimaksudkan termasuk
buku, alat tulis, pakaian sukan, pengangkutan, penginapan, makanan dan minuman,
klinik kesihatan, bengkel automotif dan perkhidmatan rekreasi.
Kad Diskaun Rakyat 1Malaysia (KDR1M)
Kad ini bertindak sebagai kad
diskaun kepada lebih 10 juta rakyat Malaysia. Pemilik kad ini layak menikmati
potongan harga sebanyak 10 peratus hingga 50 peratus di lebih 4,500 premis perniagaan terpilih di seluruh negara.
KDR1M meliputi klinik perubatan; restoran; hotel; arena sukan dan kecergasan;
pemborong dan peruncit; taman tema dalam dan luar bangunan, pembinaan dan
hiasan dalaman; gedung pakaian dan aksesori kereta; perlindungan insurans am
dan banyak lagi.
Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M)
Kedai ini menjual pelbagai ikan
segar, ayam, daging dan sayur-sayuran pada harga lebih kurang 40 peratus lebih
murah daripada harga pasaran tanpa menjejaskan kualiti. Ini adalah satu
inisiatif yang disasarkan kepada pengguna dan syarikat persendirian dengan cara
membantu mereka membeli bekalan pada harga yang berpatutan.
Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KKR1M)
Kedai-kedai di bawah projek ini
menawarkan kain dan pakaian yang berkualiti tinggi pada harga yang rendah,
dengan diskaun sehingga 70 peratus. Ia bertujuan untuk membantu golongan
berpendapatan rendah membeli kain untuk dijadikan pakaian harian, pakaian
seragam sekolah, langsir dan keperluan-keperluan lain. Pada masa ini, terdapat
19 buah kedai seumpamanya di seluruh negara dan sebanyak 50 buah kedai lagi
akan dibuka pada tahun ini.
Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M)
Kira-kira 99 kedai seumpama ini
telah dibuka di seluruh negara buat masa ini. Setiap kedai ini, yang
berformatkan seperti pasar mini, menawarkan pelbagai jenis barangan
keperluan harian dengan harga yang
rendah. KR1M sememangnya dapat mengurangkan beban rakyat Malaysia terutamanya
golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar.
Buat masa ini, terdapat lebih 250
barangan runcit dijual di KR1M dan kesemua barangan ini dibungkus dan dilabel dengan logo ‘Kedai
Rakyat 1Malaysia’. Barangan runcit yang dijual di KR1M ini adalah 30 peratus
hingga 50 peratus lebih murah berbanding kedai-kedai atau pasar raya yang lain.
Klinik 1Malaysia
Kini, rakyat Malaysia boleh
menikmati perkhidmatan kesihatan dengan bayaran sebanyak RM1 sahaja. Terdapat
lebih 50 Klinik 1Malaysia di seluruh negara dan kesemua klinik ini terletak di
kawasan yang strategik seperti di dalam kawasan perumahan. Buat masa ini, tiga
hingga empay klinik seumpamanya beroperasi di setiap negeri.
Klinik 1Malaysia menyediakan
perkhidmatan kesihatan yang asas kepada semua rakyat Malaysia yang memerlukannya.
Ia dikendalikan oleh jururawat-jururawat dan pembantu perubatan yang
berpengalaman dan mempunyai rekod perkhidmatan sekurang-kurangnya lima tahun.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah pembedahan kecil, jahitan, cuci
luka dan balutan, serta rawatan bagi
penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, demam, kencing manis dan darah
tinggi.
Warga emas dikecualikan daripada
sebarang bayaran.
Klinik Bergerak 1Malaysia
Ini merupakan inisiatif Kerajaan
dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman.
Pada ketika ini, kira-kira 25 peratus daripada rakyat Malaysia masih lagi
tinggal di kawasan pedalaman dan mengalami kesukaran dalam mendapatkan
perkhidmatan kesihatan yang asas. Sebanyak 171 unit klinik bergerak beroperasi
di kawasan-kawasan pedalaman ini dari hari Isnin hingga Jumaat dari jam 8am
hingga 5pm. Program ini memberi manfaat kepada 1,600 buah kampung di
Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ia turut menyediakan perkhidmatan mata
dan gigi kepada orang ramai. Setiap unit klinik bergerak ini dilengkapi dengan
bilik pemeriksaan serta kemudahan untuk menjalankan pembedahan kecil.
Menu Rakyat 1Malaysia
Program subsidi ini menawarkan
menu RM2 untuk sarapan pagi dan RM4 untuk hidangan tengah hari. Ia bertujuan untuk mengurangkan
beban orang ramai. Sebanyak 3,000 kedai makan di seluruh negara menawarkan menu
ini sebagai alternatif kepada rakyat Malaysia untuk menikmati hidangan dengan
harga yang rendah melalui pakej-pakej menu yang disediakan. Berikut adalah
contoh-contoh:
Sarapan Pagi
Nasi Lemak + Teh O = RM1.60 Roti
Canai Kosong + Teh Tarik = RM2.00 Roti Bakar (1 set) + Kopi O = RM2.00
Hidangan Tengah Hari
Nasi Putih + Ayam Goreng + Sayur +
Sirap = RM4.00 Nasi Ayam + Teh O Ais = RM3.80 Mee Goreng Mamak + Sirap Limau =
RM3.00
Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)
Kepada mereka yang sentiasa
menginginkan rumah idaman selama ini, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) adalah
jalan penyelesaiannya. Di bawah inisiatif ini, pihak Kerajaan membangun,
membina dan menyenggara projek perumahan mampu milik untuk rakyat Malaysia yang
berpendapatan sederhana (dengan pendapatan isi rumah di antara RM2,500 dan
RM7,500).
Projek-projek PR1MA kini sedang
dibangunkan di bandar-bandar utama seperti
Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Setiap unit hartanah ini
dijual dengan harga dari RM100,000 hingga RM400,000 serta dilengkapi dengan
kemudahan-kemudahan dan prasarana untuk kehidupan yang lestari.
Program 1AZAM (1AZAM)
Program 1AZAM diwujudkan bagi
membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar menjana peluang pekerjaan
dan meningkatkan pendapatan.
Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA)
Program ini bertujuan untuk
memberi bantuan kewangan bulanan kepada golongan warga emas yang berpendapatan
rendah, kanak-kanak miskin, orang kurang upaya, ibu tunggal dan balu kepada
anggota tentera dan polis. Bantuan ini disalurkan untuk menampung hidup
golongan tersebut agar mereka tidak merasa tersisih oleh masyarakat. Setiap
seorang atau isi rumah menerima sebanyak RM100 hingga RM450 .
Program Susu 1Malaysia (PS1M)
Ini merupakan program susu
percuma yang diberikan kepada lebih tiga juta pelajar di sekolah rendah di
seluruh negara dengan tujuan untuk membina generasi Malaysia yang kuat dan
sihat. Ia juga dapat menggalakkan lagi pertumbuhan industri tenusu di Sabah
dengan menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk kampung demi
memenuhi permintaan untuk susu segar.
Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR)
TUKAR adalah inisiatif yang
bermatlamat untuk memodenkan kedai-kedai runcit tradisional sehingga mampu
berdaya saing dalam persekitaran runcit dan citarasa pengguna yang kerap
berubah agar dapat menarik minat pengguna.
Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia
Kini, ibu-ibu mengandung boleh
menikmati kemudahan kelas pertama untuk bersalin dengan hanya RM3 sahaja. Sejak
dibuka pada tahun 2012, pusat bersalin ini menawarkan perkhidmatan rawatan,
bilik, ubat-ubatan dan makanan yang sama standardnya dengan kemudahan wad kelas
pertama untuk bayaran yang jauh lebih murah. Penjawat awam boleh menikmati
kemudahan ini tanpa perlu dikenakan sebarang bayaran.
Pusat bersalin ini juga
dilengkapi dengan kemudahan rawatan fototerapi dan perkhidmatan klinik
antenatal dan ginekologi. Selain itu, pakar-pakar obstetrik, ginekologi dan
pediatrik akan bertugas setiap hari demi memastikan para pesakit mendapat
rawatan yang profesional, berkualiti tinggi dan berkesan. Inisiatif ini
merupakan salah satu langkah kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan
yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.
Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC)
1MOCC ialah pusat talian tunggal
yang beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu untuk menjawab sebarang
pertanyaan awam, aduan, cadangan mahupun tindakbalas melalui panggilan telefon,
perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), faks, emel dan media sosial.
Rawatan Perubatan Percuma bagi Warga Emas
Kini, warga emas boleh menikmati
rawatan perubatan secara percuma sejak bayaran RM1 yang dikenakan di
hospital-hospital awam sebelum ini telah dimansuhkan oleh Kerajaan pada tahun
2012. Inisiatif ini memberi manfaat kepada lebih 1.5 juta rakyat Malaysia.
Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia)
Ini merupakan tabung pelaburan
amanah yang disokong oleh Kerajaan untuk golongan yang pendapatan isi rumahnya
kurang daripada RM3,000 sebulan. Melalui kerjasama dengan Permodalan Nasional
Berhad, skim ini memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 isi rumah dan
membolehkan mereka yang layak melabur sehingga RM5,000, dengan pulangan bulanan
sebanyak RM134. Pinjaman juga boleh dibuat untuk membeli unit Amanah Saham
1Malaysia.
Skim Keselamatan Makanan 1Malaysia (SK1M)
SK1M adalah satu inisiatif yang
berterusan untuk memeriksa semua barangan makanan yang dikeluarkan oleh
industri kecil dan sederhana sebelum memasuki pasaran. Langkah ini bertujuan
untuk memastikan 35,000 pengusaha makanan di negara ini menghasilkan produk
yang berkualiti tinggi, selamat dan bersih melalui pelaksanaan peraturan yang
ketat.
Skim Latihan 1Malaysia (SL1M)
Program ini menyediakan keperluan
latihan/internship kepada para graduan baru oleh syarikat berkaitan kerajaan
(GLC) bagi mengurangkan kadar pengangguran di kalangan belia.
Selain daripada pelbagai bentuk
latihan, projek ini juga menawarkan kursus kemahiran Bahasa Inggeris dan
kursus-kursus komunikasi yang lain untuk beberapa bulan sebelum mereka
diserapkan ke bidang-bidang yang mereka pilih. Syarikat-syarikat yang memberi
latihan di dalam program ini menerima potongan cukai dua kali ganda ke atas
elaun dan perbelanjaan latihan. Setakat ini, sebanyak 100 buah syarikat telah menyertai SL1M.
Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma)
Di bawah skim ini, sebanyak 2,264
pemandu teksi dan van sewa telah menerima baucar bernilai RM520 bagi menampung
kos menukar tayar. Ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk
membantu golongan ini dalam menangani peningkatan kos penyelengaraan kenderaan mereka.
Selain itu, skim ini juga dapat
menggalakkan lagi industri melalui kerjasama di antara Suruhanjaya Pengangkutan
Awam Darat (SPAD), Proton Holdings Berhad dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Melalui kerjasama ini, pemandu teksi berpeluang menikmati harga pakej kenderaan
istimewa selepas cukai jualan dan duti kastam dikecualikan.
Antara faedah lain termasuk
pinjaman tanpa deposit, kadar faedah serendah dua peratus yang ditawarkan oleh BSN, pakej
penyelengaraan kenderaan pada harga pasaran dan perlindungan insurans yang
komprehensif untuk tahun pertama.
Setelah kita melihat produk ini adakah kita merasakan ia bermanafaat buat kita? Adakah kita merasakan YAB Perdana Menteri tidak berbuat sesuatu sepanjang menjalankan tugsan beliau sebagai pemerintahan? Adakalanya tidak perlu kita terlalu memandang terlalu hina terhadapnya. Jika beliau silap tegurlah secara berhemah, jika beliau menyakiti kalian berdoalah pada Allah supaya beliau di beri hidayah. Tidak perlu menghina.
Setidaknya pandang kebaikkan yang dilakukan, tidak perlu pandang keburukan 24 jam semata-mata.
Wasalam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan