Jumaat, 14 Ogos 2015

Sukarelawan Dan Amal Jariyah

Assalammualaikum w.b.t



Sedikit perkongsian pada pagi ini, sebelum ini saya ada menaikan status mengenai saya suka dengan aktiviti sukarelawan dan ia adalah saham akhirat saya. Ini adalah kerana saya menganggap ia sebagai amal jariyah.

Sebagaimana kita ketahui Amal Jariyah adalah sebutan bagi amalan yang terus mengalir pahalanya, walaupun orang yang melakukan amalan tersebut sudah meninggal dunia. Amalan tersebut terus menghasilkan pahala yang terus mengalir kepadanya. Semoga dengan penglibatan kita sebagai sukarelawan ia akan menjadi amalan amal jariyah buat kita dan ia akan menjadi saham akhirat buat kita.

Dan disini saya ingin berkongsi amalan yang memberi ganjaran Pahala Akan Terus Mengalir Dengan 7 Amalan Ini, semoga ia membakar semangat kita untuk memperluaskan aktviti sukarelawan kita serta menjadikan kita lebih bersemangat dan ikhlas untuk membantu org yang memerlukan.

Pahala Akan Terus Mengalir Dengan 7 Amalan Ini:

1. Menyebarluaskan ilmu pengetahuan yang bermanfaat, baik melalui pendidikan formal dan nonformal, seperti perbincangan, ceramah, dakwah, dan sebagainya. Termasuk dalam kategori ini adalah menulis buku yang berguna dan mempublikasikannya.

2. Mendidik anak menjadi anak yang soleh. Anak yang soleh akan selalu berbuat kebaikan di dunia. Menurut keterangan hadis ini, kebaikan yang dipeibuat oleh anak soleh pahalanya sampai kepada orang tua yang mendidiknya yang telah meninggal dunia tanpa mengurangkan nilai / pahala yang diterima oleh kanak-kanak tadi.

3. Mewariskan mushaf (buku agama) kepada orang-orang yang dapat memanfaatkannya untuk kebaikan diri dan masyarakatnya.

4. Membangun masjid. Hal ini selaras dengan sabda Nabi SAW, “Barangsiapa yang membangunkan sebuah masjid kerana Allah walau sekecil apa pun, maka Allah akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga” (HR. al-Bukhari dan Muslim).
Orang yang membina masjid tersebut akan menerima pahala seperti pahala orang yang beribadah di masjid itu.


5. Membangun rumah atau pondok bagi orang-orang yang bepergian untuk kebaikan. Setiap orang yang memanfaatkannya, baik untuk berehat sebentar mahupun untuk bermalam dan kegunaan lain yang bukan untuk maksiat, akan mengalirkan pahala kepada orang yang membinanya.

6. Mengalirkan air secara baik dan bersih ke tampat-tempat orang yang memerlukannya atau menggali sumur di tempat yang sering dilalui atau didiami orang ramai. Setelah orang yang mengalirkan air itu wafat dan air itu tetap mengalir serta terpelihara dari kecemaran dan dimanfaatkan orang yang hidup maka ia mendapat pahala yang terus mengalir.

Semakin banyak orang yang memanfaatkannya semakin banyak ia menerima pahala di akhirat. Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa membina sebuah telaga lalu diminum oleh jin atau burung yang kehausan, maka Allah akan memberinya pahala kelak di hari kiamat.” (HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Majah).

7. Menyedekahkan sebahagian harta. Sedekah yang diberikan secara ikhlas akan mendatangkan pahala yang berlipat ganda.

Semoga perkongsian ini bermanafaat buat semua dan semoga ia menjadi pedoman buat kita semua.

Wasalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan